Tuesday, September 1, 2009

Cerita Malam Merdeka



4 tahun sudah berlalu sejak kali terakhir saya menyambut kemerdekaan bersama-sama tok wan. Hari merdeka ini mengingatkan kami berganda-ganda banyaknya pada tok wan dan jiwa besarnya.

Tok wan dibesarkan oleh peristiwa-peristiwa hitam yang cukup memilukan. Manakan tidak, tok wan melihat sendiri tentera jepun membunuh ayah dengan membelah segala isi perutnya. Melihat kakak dan ibunya dilarikan ke dalam hutan dan hilang entah ke mana. Saban hari, tok wan menunggu berita dari ibu dan kakaknya. Padahal, siapa sahaja yang dilarikan Jepun ke dalam hutan , seolah sudah dipastikan nasibnya. Dibunuh! dan mereka hilang begitu sahaja..

Sejak dari peristiwa itu, tok wan terus membesar seorang diri, yatim piatu dan menderita di tanah tumpah darahnya. Bukan sehari dua tidak berjumpa makanan, bukan sehari dua berlari-lari ke dalam hutan. Dan bukan sehari dua melihat orang-orang yang dikenali diperlakukan sewenangnya oleh tentera Jepun itu.

Maka, tok wan berazam mahu bersama dengan askar Tanah Melayu memperjuangkan nasib rakyat ketika itu. Tok Wan beriktiqad, Itulah jihadnya. Memelihara bukan sahaja maruah negara, bahkan mengangkat semula syiar Islam yang semakin diinjak oleh kafir laknatullah.

Tangan kasar dan keras, badan gelap berparut dan tumit kematu yang sudah merekah milik tok wan menceritakan pelbagai kesukaran hidup di zaman itu. Malah kaki tok wan ketara tidak sama kerana terkena serpihan periuk api ketika melarikan diri ke dalam hutan. Oleh kerana kesukaran mendapatkan pertolongan, luka yang ternganga besar itu dijahit sendiri oleh tok wan menggunakan tali dari guni!

Semenjak dari kecil lagi, sanak-saudara kami akan berkumpul di Tikam Batu, Kedah untuk menyambut hari kemerdekaan bersama-sama tok wan. Saya masih ingat, ketika itu kami sekeluarga masih menetap di Ipoh, saya jadi kurang berminat pulang bercuti ke Tikam batu kerana tok wan mempunyai pelbagai peraturan yang saya kira cukup merumitkan. Perkara yang mudah, mahu disusahkan. Boleh mandi menggunakan air paip, tapi tok wan mahu kami mencedok air dari perigi. Malah air juga dicatu, 3, 4 cedok sekali mandi. Semuanya payah, baik makanan , pakaian, kenderaan atau apa-apa sahaja. Saya tidak faham, pelan-pelan mendengus geram, dan tidak jarang juga memberontak jika diberitahu kami sekeluarga bakal bercuti di Tikam Batu. Saya tidak mahu!

Tapi, ada sesuatu yang menarik. Setiap malam merdeka tok wan akan mengajak kami duduk-duduk di beranda rumah selepas isya’. Tok Besah pula menghidang air teh manis-manis buah dan ‘biskut mayat’ kegemaran tok wan. Saya masih kecil, sekitar 5 atau 6 tahun ketika mula menjadi ahli tetap bualan malam merdeka itu. Tok wan memang pandai bercerita, dengan gaya dan bahasanya, terjegil-jegil biji mata kami menangkap plot ceritanya. Kadang, tak sabar bertanya itu dan ini, menyambut cerita tok wan yang belum sempat bertitik.

Namun, ada kalanya kelopak mata tok wan berair, menakung sedih, syukur atau entah apa yang ada di hatinya. Ketika air mata tok wan mengalir, kami berebut-rebut mahu mengusapnya. Anak-anak kecil seperti saya ketika itu, tidak pernah faham mengapa tok wan menangis, dan mengapa asyik bercerita tentang merdeka itu. Mahu sebut komunis saja sudah susah, inikan pula mahu mengetahui selok belok ceritanya?

Saya tidak mengerti..apa yang saya tahu, cerita tok wan itu asyik sekali. Perkara yang berlaku juga pelik-pelik belaka. Tahun depan, mesti dengar lagi. Lagi pula, bukan senang mahu lihat tok wan menangis, 3 tahun sekali. Ketika menyambut ramadhan, menyambut hari lahirnya dan menyambut merdeka. Siapa yang mahu terlepas?

Bertahun-tahun berlalu, saya membesar dan tok wan masih lagi bercerita di malam merdeka itu. Ketika itu saya sudah mampu memahami. Abang-abang, saudara-saudara pupu dan saya sendiri yang pernah menjadi pendengar setia sudah beranjak remaja dan dewasa, lalu generasi selepas kami mengambil tempat. Tok wan masih tidak jemu bercerita cerita yang sama. Meski ketara energy tok wan semakin berkurangan digores usia dan keuzurannya, namun semangat berkobar-kobar tok wan tetap bergantungan tinggi di langit malam.

Akhirnya, saya memahami didikan tok wan. Meski lambat, tetapi saya menghargainya. Tok wan mahu anak-anak cucu cicitnya menghargai dan mensyukuri nikmat keharmonian yang dikecapi kini. Sedikit demi sedikit tok wan mendorong kami menterjemahkan kata nama syukur itu menjadi sebuah kata kerja yang bakal mengangkat kami melangkau batas kemanusian untuk berbuat lebih…bukan sekadar menyebut syukur, tetapi melakukan perbuatan yang menjadi manifestasi syukur itu sendiri. Walau perbuatan itu sekecil mengutip secebis sampah di jalanan.

Menjadi tuan di tanah sendiri bukan sesuatu yang mudah. Tetapi sekali menjadi tuan, bukan payah pula untuk dijadikan hamba. Kerumitan hidup bersama peraturan-peraturan tok wan itu sedikit sebanyak menjadikan kami suka berdikari, tidak terlalu bergantung pada bantuan orang lain mahupun teknologi. Malah, kami anak pasca-merdeka yang tidak pernah merasai keperitan peperangan dapat menginsafi kebesaran Allah dan mengenali sejarah yang menghidupkan jati diri. Tidak lupa juga, ianya mengikat simpulan hati dan ingatan yang kuat terhadap arwah tok wan, meski dia sudah tiada lagi di sisi kami.

InsyaAllah, sempena menyambut kemerdekaan ini, sambutlah tawaran melengkapkan bahagian keimanan kita dengan mencintai watan. Berbuat baik dan berjasalah dengan sebanyak-banyaknya. Sujudlah dengan penuh kesyukuran atas nikmat kedamaian ini. Berdo’alah dengan penuh kekhusyukan agar Allah mengekalkan dan menambahkan keharmonian ini. Sesungguhnya, sekiranya Dia berkehendak, dengan hanya satu kerdipan mata, kita bisa binasa sehabis-habisnya, namun kemurahanNya telah membawa kita hidup harmoni dan damai di bumi bertuah ini. Maka hargailah ia.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-52.