Monday, January 12, 2009

Dadah Yang Satu Ini

Boikot bukanlah idea sampah.

Biar pun ramai yang sinis dengan idea boikot ini, halaman web Israeli Products . Com (http://www.israeliproducts.com/) boleh menjadi salah satu jendela untuk kita menjenguk reaksi regim Zionis terhadap kempen boikot yang berlangsung di seluruh dunia.

"There is suffering and crushing poverty in much of Israel today. Self defense is expensive. Rebuilding war-ravaged lives, homes and businesses requires support. Most social services have been reduced drastically. Over 1.5 million people in Israel live below the poverty line. One in every three Israeli children is growing up poor- without enough food, without dental care, or shoes that fit. This store is our small attempt to make a difference. Our goal is to make high quality Israeli products easier to find and purchase for U.S. consumers. We urge our customers to support both America and Israel by purchasing MADE IN U.S.A. and MADE IN ISRAEL products whenever possible. "

Sebelum jatuh simpati kepada gigi dan kasut anak-anak mereka, fikirkan pula apa yang sedang dihadapi oleh anak-anak saudara kita di luar tembok tinggi mereka.
Boikot jangan dipandang sampah.


SAMPAH SEBENAR


Jika mahu bercakap tentang sampah, ia boleh dirujuk kepada manusia bercita rasa haiwan ternak (al-An’aam) yang tidak pernah peduli lagi mengambil tahu tentang apa yang berlaku di sekitar mereka. Biar pun bedilan serangan pengganas Zionis menjamah 800 nyawa dalam tempoh dua minggu, di luar sana cukup ramai yang di sepanjang dua minggu ini hanya berfikir tentang penyanyi, pelawak dan pelakon yang ingin mereka menangkan.
Seakan-akan tidak ada apa-apa yang sedang berlaku di luar ‘dunia’ mereka.
‘Dunia’ yang hanya jadi begitu hasil ketagihan dadah.


Dadah yang dijamah oleh sebilangan besar masyarakat kita, bernama HEDONISMA.
Inilah dadah yang melumpukan akal fikiran dan hati nurani setiap manusia yang menjamahnya. Dadah yang merangsang pembentukan sebuah dunia lain yang tidak punya sebarang kaitan dengan dunia realiti.


Jika morfin merupakan dadah yang merangsang kesan sampingan berupa mimpi ngeri yang menyukarkan tidur penggunanya, maka hedonisma menjadi dadah yang mencipta mimpi indah yang menyukarkan jaga dan sedar penggunanya. Biar pun mata mereka celik, telinga mereka ada, dan jasad mereka bergerak biasa, mata itu hakikatnya buta, telinga menjadi tuli dan jasad menggerakkan tubuh mati tanpa jiwa dan perasaan… kesan sejenis dadah bernama HEDONISMA.


Pengedar dadah tidak menagih dadah. Pengedar dadah perlu menguruskan perniagaan besarnya yang mustahil terurus dalam keadaan dirinya menagih dadah. Penagih dadah, hanya terdiri daripada manusia bodoh yang hilang makna diri, miskin jiwa dan kabur pandangan hidup.
Penaja hedonisma juga tidak menagih hedonisma. Penaja hedonisma perlu menguruskan perniagaan besarnya yang mustahil terurus dalam keadaan dirinya menagih hedonisma. Penagih hedonisma, hanya terdiri daripada manusia bodoh yang hilang makna diri, miskin jiwa dan kabur pandangan hidup.


Penaja terbesar hedonisma adalah Hollywood.

Jika anda serius mahu memboikot produk yang menyokong regim Zionis, boikotlah produk Hollywood kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada kekuatan ekonomi Amerika Syarikat dan Zionis, malah ia juga menjadikan setiap penjamahnya berkulit Melayu bercitarasa Yahudi. Berwajah Melayu berselera Nasrani.


Berapakah penjanaan keuntungan siaran filem-filem Hollywood di negara kita?
Dari manakah keuntungan itu diperolehi, kalau tidak dari penagih hedonisma yang berada di kiri, kanan, depan dan belakang kita!


Dadah hedonisma ada kuasa mutasi. Bermula dari transformasi mereka sebagai manusia kepada binatang ternak, berakhir dengan menjadi biawak yang mengekor biawak lain masuk ke lubangnya, tanpa berlengah-lengah lagi.


“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)


Hanya penagih dadah sahaja yang memandang indah lubang biawak Yahudi dan Nasrani bernama hedonisma ini.


68000 AMPANG, SELANGOR

No comments: