Oleh itu, tidak dapat tidak, perlu ada bentuk pemikiran yang meraikan kemahuan manusia dengan mengurangkan kekangan agama tersebut. Di dalam konteks liberalisasi agama Islam, bentuk pemikiran ini cuba untuk memberikan tafsiran Islam yang sesuai dengan pemikiran post-modernisme yang mencemarkan kesyumulan agama tauhid ini serta mengasingkan sandaran vertikal kepada Allah swt di segenap aspek kehidupan masyarakat.
Istilah Islam liberal mula mengkultur di dalam masyarakat apabila ianya pertama kali digunakan oleh penulis seperti Leonard Binder ( Islamic Liberalism ) dan Charles Kurzman ( Liberal Islam ), namun begitu asal istilah Islam Liberal diberikan oleh orientalis dan diterima oleh segolongan umat Islam sendiri. Golongan Islam Liberal juga dilihat menggunakan nama lain seperti Islam Progresif dan Islam Moderat bagi menggambarkan Islam versi liberal yang mereka anuti.
Ustaz Khalif Muammar di dalam bukunya, telah menjelaskan bahawa fenomena Islam liberal merupakan sebuah isu global yang dirancang oleh barat untuk menghapuskan pengaruh agama ke atas masyarakat Islam dengan membesar-besarkan Islam liberal serta memburuk-burukan fundamentalisme Islam. Bentuk pemikiran Islam liberal ini dilihat cukup berbahaya kerana ianya dipelopori oleh golongan intelektual yang mempunyai pengaruh besar ke atas aliran pemikiran masyarakat. Para ilmuan ini mempunyai pegangan yang kuat terhadap tradisi keilmuan Barat dalam masa yang sama cenderung meremehkan tradisi keintelektualan Islam. Sehingga samaada disedari mahupun tidak, worldview mereka telah dikuasi oleh worldview barat berbanding tasawwur Islam itu sendiri.
Akar- Akar Pemikiran Islam Liberal
Antara isu sentral yang timbul berikutan fahaman Islib ini adalah :
1.Sekularisme
2. Pluralisme agama
Seorang tokoh Islib, Rene Guenon yang mengetengahkan idea Transcendent Unity of Religions ( TUR ) membahagikan agama-agama besar di dunia (Islam, Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, dll) kepada 2 struktur utama iaitu exoteric ( luaran/ zahir ) dan esoterik ( dalaman/batin ). Agama menurut golongan Islib hanya berbeza pada struktur luarannya sahaja sedangkan batinnya adalah sama, iaitu menuju Tuhan yang satu. Di Malaysia, kita melihat usaha penubuhan Interfaith Commision ( IFC ) yang mendapat sokongan kuat dari Sisters in Islam ( SIS ) suatu ketika dahulu merupakan antara usaha golongan Islib di dalam rangka penyebaran pluralisme agama yang kita bincangkan.
3. Al-Quran Edisi Kritis ( QEK )
Golongan Islib juga terlibat di dalam usaha memperbaharui Al-quran dengan mengusahakan bentuk baru quran yang digelar Al-quran edisi kritis. Bagi kelompok ini edisi lama Al-quran mempunyai banyak permasalahan yang memerlukan pengeditan secara kritikal. Sejarah pembukuan Al-quran dan kerencaman cara bacaan oleh umat Islam dijadikan modal utama untuk merealisasikan tujuan mereka.
4. Hermeneutik
Hermeneutika pada asalnya adalah merupakan metodologi penafsiran bible. Apabila ianya dijadikan sebagai sebuah aliran falsafah moden oleh seorang pemikir protestant, ianya lantas diambil oleh segolongan kaum liberal untuk diterapkan kepada penafsiran al-quran. QEK bertujuan untuk merombak semula Al-quran yang ada, manakala hermeneutika pula datang dengan idea untuk merubah orientasi tafsir Al-quran yang dibaca oleh umat Islam.
5. Feminisme
Gerakan feminisme barat yang bertujuan untuk mendapatkan kesamarataan hak di antara gender juga mempengaruhi pemikiran Islib. Feminisme cara Islib biasanya menuntut persamaan hukum-hakam syariah antara lelaki dan perempuan yang dianggap tidak adil oleh golongan ini.
Secara umumnya dapat dirumuskan bahawa dari segi teologi, golongan Islib berpegang kepada pluralisme agama dengan fahaman bahawa semua agama adalah sama dan benar. Mereka juga menentang autoriti dikalangan ulama. Dari segi sosial dan moral, mereka menyokong utilitarianisme, seperti di Amerika yang tiada kongkongan dan pengawasan terhadap perilaku individu walau apapun yang ingin dilakukan, mereka juga menyuarakan kesetaraan gender dan beranggapan bahawa Islam telah merendahkan martabat wanita. Dari segi politik, mereka menentang keras konsep negara Islam, bagi mereka ia adalah negara teokrasi yang berasaskan ketuhanan total. Mereka inginkan demokrasi liberal dengan sekularisme sebagai dasar negara. Dari segi perundangan, mereka menyuarakan idea merombak syariah, bagi mereka syariah mesti tunduk kepada undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Mereka menghalalkan homoseksual, menghalalkan arak dan riba. Mereka juga meragukan kesucian dan kemurnian al-Qur’an, mereka ingin agar al-Qur’an ditafsirkan kembali bukan oleh para ulama tetapi oleh ahli sosiologi,antropologi dan kaum feminis.
Khatimah