Tuesday, April 7, 2009

Akar Pemikiran Islam Liberal



Sejak sekian lama, yang bernama agama itu sering ditempatkan disisi paling private bagi manusia. Hatta sejak era reformasi gereja abad ke-15, wilayah agama telah didomestikasikan sedemikian rupa. Kini, agama dilihat semakin tidak kondusif bagi manusia menikmati kehidupan demokratik, harmoni serta menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan. Malah agama juga dilihat seperti penyakit yang membarah yang perlu dinyah-hapuskan demi menikmati toleransi, kebebasan, persamaan dan pluralisme. Ketika pemikiran manusia didoktrinkan dengan pemahaman bahawa agama adalah musuh kepada demokrasi, kemanusiaan dan pluralisme, maka agama itu sendiri harus melakukan rekontruksi (atau direkonstruksi secara paksa) supaya ianya menjadi ‘syumul’ serta lebih bersifat empati untuk membebaskan manusia dari kongkongan ibadat serta tradisi jumud yang tidak selari dengan semangat zaman.

Oleh itu, tidak dapat tidak, perlu ada bentuk pemikiran yang meraikan kemahuan manusia dengan mengurangkan kekangan agama tersebut. Di dalam konteks liberalisasi agama Islam, bentuk pemikiran ini cuba untuk memberikan tafsiran Islam yang sesuai dengan pemikiran post-modernisme yang mencemarkan kesyumulan agama tauhid ini serta mengasingkan sandaran vertikal kepada Allah swt di segenap aspek kehidupan masyarakat.

Istilah Islam liberal mula mengkultur di dalam masyarakat apabila ianya pertama kali digunakan oleh penulis seperti Leonard Binder ( Islamic Liberalism ) dan Charles Kurzman ( Liberal Islam ), namun begitu asal istilah Islam Liberal diberikan oleh orientalis dan diterima oleh segolongan umat Islam sendiri. Golongan Islam Liberal juga dilihat menggunakan nama lain seperti Islam Progresif dan Islam Moderat bagi menggambarkan Islam versi liberal yang mereka anuti.

Ustaz Khalif Muammar di dalam bukunya, telah menjelaskan bahawa fenomena Islam liberal merupakan sebuah isu global yang dirancang oleh barat untuk menghapuskan pengaruh agama ke atas masyarakat Islam dengan membesar-besarkan Islam liberal serta memburuk-burukan fundamentalisme Islam. Bentuk pemikiran Islam liberal ini dilihat cukup berbahaya kerana ianya dipelopori oleh golongan intelektual yang mempunyai pengaruh besar ke atas aliran pemikiran masyarakat. Para ilmuan ini mempunyai pegangan yang kuat terhadap tradisi keilmuan Barat dalam masa yang sama cenderung meremehkan tradisi keintelektualan Islam. Sehingga samaada disedari mahupun tidak, worldview mereka telah dikuasi oleh worldview barat berbanding tasawwur Islam itu sendiri.

Akar- Akar Pemikiran Islam Liberal

Antara isu sentral yang timbul berikutan fahaman Islib ini adalah :

1.Sekularisme

Pemikiran sekular yang dilontarkan oleh pendokong Islib merupakan pengaruh dari isu-isu pemikiran yang berkembang di dunia barat. Proses pembaratan dan globalisasi budaya yang berjalan membuatkan golongan pemikir berasa selesa dengan pemikiran agama yang terjadi di dunia barat. Sekularisasi yang menghambat umat manusia menerusi Islib ini menjadikan manusia itu sendiri tunduk dan kalah kepada kemahuan duniawi sesuai dengan selera dan agenda barat untuk membebaskan manusia dari pengaruh alam rohani.

2. Pluralisme agama


Seorang tokoh Islib, Rene Guenon yang mengetengahkan idea Transcendent Unity of Religions ( TUR ) membahagikan agama-agama besar di dunia (Islam, Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, dll) kepada 2 struktur utama iaitu exoteric ( luaran/ zahir ) dan esoterik ( dalaman/batin ). Agama menurut golongan Islib hanya berbeza pada struktur luarannya sahaja sedangkan batinnya adalah sama, iaitu menuju Tuhan yang satu. Di Malaysia, kita melihat usaha penubuhan Interfaith Commision ( IFC ) yang mendapat sokongan kuat dari Sisters in Islam ( SIS ) suatu ketika dahulu merupakan antara usaha golongan Islib di dalam rangka penyebaran pluralisme agama yang kita bincangkan.

3. Al-Quran Edisi Kritis ( QEK )

Golongan Islib juga terlibat di dalam usaha memperbaharui Al-quran dengan mengusahakan bentuk baru quran yang digelar Al-quran edisi kritis. Bagi kelompok ini edisi lama Al-quran mempunyai banyak permasalahan yang memerlukan pengeditan secara kritikal. Sejarah pembukuan Al-quran dan kerencaman cara bacaan oleh umat Islam dijadikan modal utama untuk merealisasikan tujuan mereka.

4. Hermeneutik

Hermeneutika pada asalnya adalah merupakan metodologi penafsiran bible. Apabila ianya dijadikan sebagai sebuah aliran falsafah moden oleh seorang pemikir protestant, ianya lantas diambil oleh segolongan kaum liberal untuk diterapkan kepada penafsiran al-quran. QEK bertujuan untuk merombak semula Al-quran yang ada, manakala hermeneutika pula datang dengan idea untuk merubah orientasi tafsir Al-quran yang dibaca oleh umat Islam.


5. Feminisme

Gerakan feminisme barat yang bertujuan untuk mendapatkan kesamarataan hak di antara gender juga mempengaruhi pemikiran Islib. Feminisme cara Islib biasanya menuntut persamaan hukum-hakam syariah antara lelaki dan perempuan yang dianggap tidak adil oleh golongan ini.

Secara umumnya dapat dirumuskan bahawa dari segi teologi, golongan Islib berpegang kepada pluralisme agama dengan fahaman bahawa semua agama adalah sama dan benar. Mereka juga menentang autoriti dikalangan ulama. Dari segi sosial dan moral, mereka menyokong utilitarianisme, seperti di Amerika yang tiada kongkongan dan pengawasan terhadap perilaku individu walau apapun yang ingin dilakukan, mereka juga menyuarakan kesetaraan gender dan beranggapan bahawa Islam telah merendahkan martabat wanita. Dari segi politik, mereka menentang keras konsep negara Islam, bagi mereka ia adalah negara teokrasi yang berasaskan ketuhanan total. Mereka inginkan demokrasi liberal dengan sekularisme sebagai dasar negara. Dari segi perundangan, mereka menyuarakan idea merombak syariah, bagi mereka syariah mesti tunduk kepada undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Mereka menghalalkan homoseksual, menghalalkan arak dan riba. Mereka juga meragukan kesucian dan kemurnian al-Qur’an, mereka ingin agar al-Qur’an ditafsirkan kembali bukan oleh para ulama tetapi oleh ahli sosiologi,antropologi dan kaum feminis.

Khatimah
Serangan terhadap agama boleh hadir di dalam variasi trend dan bentuknya. Ia secara jelas menggambarkan sebuah fakta tentang betapa dominan dan hegemoniknya Barat di dalam kulturisasi politik, ekonomi mahupun peradaban. Kelestarian agenda barat ini akan dipastikan dengan cara menghapuskan legitimasi agama dan ianya harus berlaku dengan logik kemanusiaan moden yang berlandas kepada toleransi dan kebebasan, atau lebih tepat liberalisme.Seharusnya kita memahami di dalam persoalan liberalisasi ini isu yang timbul bukan sekadar kebebasan berpendapat tetapi ianya merupakan ancaman terhadap jatidiri umat Islam serta Islam itu sendiri. Ancaman liberalisasi ini merupakan isyarat bahawa kita perlu menggali kefahaman sebenar terhadap Islam, memperbaharui semangat serta kecerdasan untuk membangunkan ummah serta menjadikan komitmen untuk mempertahankan kesucian agama Islam sebagai matlamat terbesar dalam kehidupan kita sebagai khalifatullah fil ardh.
Wallahua’lam.

No comments: