Artikel ini sudah lama saya tulis untuk mengisi ruangan di majalah UNIB yang dikendalikan oleh sahabat-sahabat UMMAH AID. Tetapi, kerana beberapa kekangan, majalah tersebut masih dalam pembikinan. Maka, saya berasa ada baiknya berkongsi artikel ini di ruangan sawang saya sendiri. insyaAllah, Sedikit sebanyak akan ada perkara yang boleh kita muhasabah bersama.
Semua perbuatan kita adalah format kehendak kita. Begitulah kita menjalani hidup dan menjalani kehidupan beragama kita. Amal soleh adalah perbuatan manakala niat yang ikhlas adalah kehendak. Amal soleh tanpa niat yang ikhlas akan menjadi sia-sia. Sama keadaannya dengan niat yang ikhlas tanpa wujudnya amal adalah kosong belaka. Oleh itu, tuntutan beramal soleh sama besarnya dengan tuntutan berkehendak. Tetapi, kehendak dan niat-niat itu tidak akan selamanya segar membugar. Kadangkala ianya boleh layu, bahkan mati. Kerana itulah, inisiatif yang berkesinambungan menjadi syarat mutlak bagi kesegaran niat dan amal soleh itu.
Suatu hari, Allah menguji Bani Israil yang tinggal di tepi pantai. Mereka dilarang mencari ikan pada hari Sabtu. Tetapi ditaqdirkanNya bahawa pada hari Sabtu ikan begitu banyak sekali. Maka penduduk kampung itu terbahagi menjadi tiga kelompok. Pertama, orang yang melanggar larangan itu dengan cara memasang jala pada hari Jum’at lalu mengambilnya pada hari Ahad. Kedua, orang yang berinisiatif memperingatkan dan menasihati orang yang berdegil terhadap perintah Allah itu. Ketiga, orang yang diam sahaja tanpa ada sebarang reaksi. Tidak menjala, tidak juga menasihati.
Akhirnya, Allah menurunkan kemurkaannnya kepada para penjala yang gagal menuruti penrintahNya. Manakala golongan yang hanya mendiamkan diri diazab dengan azab yang amat pedih. Hanya orang-orang yang memberi peringatan sahaja diselamatkan Allah swt sepertimana yang dikisahkan di dalam surah al-A’raf ayat 166.
Kisah ini menggambarkan bahawa hidupnya inisiatif sama ertinya dengan “hidupnya kehidupan”, manakala matinya inisiatif sama dengan “matinya kehidupan”. Ramai orang “hidup tetapi mati” kerana tidak pandai mengambil inisiatif. Ketika kesulitan menghalang, mereka hancur terbeban masalah. Sama juga halnya dengan orang yang dibanjiri nikmat Allah swt, banyak jiwa yang inisatifnya tumpul. Maka mereka hancur dilimpahi kurnia.
Hakikatnya, kegagalan orang-orang seperti itu dimulakan oleh kegagalannya membangunkan inisiatif jiwa dan diri sendiri. Di dalam surah al-Maiidah, ayat 48 Allah berfirman :
“Maka berlumba-lumbalah kamu di dalam kebaikan. Hanya kepada Allahlah kamu semua kembali”
Ayat ini bukan sekadar perintah untuk beramal. Tetapi, ia juga menjelaskan bahawa setiap muslim harus mempunyai sifat kemandirian yang tinggi kerana setiap orang adalah “pesaing” di dalam beramal soleh. Ini beerti jiwa pesaing mesti mendorong setiap orang untuk menguatkan semangat dan inisiatif beramal agar menjadi yang terbaik disisi Allah. Kemenangan itu adalah ketinggian taqwa yang menjadi “nilai kemuliaan” disisi Allah. Maka, penghargaan Islam terhadap daya inisiatif sangat tinggi. Oleh kerana itulah, sesiapa juga yang walau sekadar terlintas niat untuk mengerjakan amal kebaikan akan diberikan ganjaran pahala disisi Allah swt.
Budaya inisiatif akan melahirkan manusia-manusia yang akan memulakan kegiatan beramal melalui dirinya sendiri. Inilah yang akan mencetak orang-orang yang mampu menggagaskan amal-amal soleh walaupun tanpa disuruh dan tidak berada di dalam lingkungan iklim yang baik.
Orang yang berinisiatif untuk menjadi baik dan soleh tidak boleh merasa cukup apabila mencapai kebaikan hanya untuk dirinya semata-mata. Malah, mereka seharusnya berinisiatif juga untuk bersama-sama mengajak orang lain untuk turut sama di dalam pusaran kebaikan tersebut. Kesolehan peribadi seharusnya menghadirkan kesolehan umat. Di dalam bahasa lainnya, muslim yang soleh harus menjadi da’i yang aktif. Jangan sampai menjadi soleh secara peribadi tetapi tidak memberi manfaat kepada persekitarannya.
Dengan inisiatif dan kemandirian yang mantap, dakwah akan terus berjalan generasi demi generasi. Itulah yang telah dibuktikan oleh para ulama dan da’i kita. Mengambil contoh dari dunia fiqh, sekiranya tiada inisiatif dalam bentuk ijtihad, mungkin kita akan kesulitan mencari hukum-hukum atas masalah yang baru. Imam Abu Hanifah, Imam Syafi’i, Imam Malik, Imam Ahmad, telah berjasa besar melalui budaya inisiatif mereka hingga mazhab-mazhab fiqh tidak sekadar menjadi disiplin ilmu yang luas, tetapi juga pijakan hukum yang kukuh. Begitu juga di dalam dunia dakwah, telah ramai tokoh-tokoh dakwah yang datang dan pergi. Mereka menjadi pemula yang berpengaruh sehingga ke hari ini kita masih melalui jalan dakwah yang dirintis oleh mereka. Maka, seorang da’i yang sedar bahawa tugas dalam dakwahnya amat berat harus terus mencari inisiatif untuk memacu prestasi amalnya semaksimum mungkin.
Inisiatif dan kemandirian juga amat diperlukan di dalam mencari kehidupan di dunia. Hidup manusia itu dinamik, berubah dan terus bergerak. Dinamika, perubahan dan pergerakan itu memerlukan pendorong. Di sinilah inisiatif memainkan peranannya sebagai pemicu. Oleh kerana itulah, inisiatif bukan sekadar keperluan yang sementara, tetapi ianya adalah keperluan manusia sepanjang hayat.
Seorang pekerja yang diberhentikan pekerjaannya harus mencari inisiatif positif bagaimana untuk mencari rezeki agar isteri dan anak-anaknya tidak kelaparan. Seorang anak yang mempunyai ibu bapa yang sibuk, harus berinisiatif positif untuk menjaga dirinya sendiri. Sekumpulan pelajar yang tidak dapat menghadirkan diri ke kelas, harus mencari inisiatif agar tetap mampu menuntut ilmu. Begitulah seterusnya di dalam segala sisi hidup. Inisiatif ibarat pahlawan di tengah kekalutan peperangan, atau seteguk air di padang pasir yang membakar. Maka jangan dibiarkan inisiatif itu mati. Tumbuhkan segera dan biarkan kuncupnya mekar menjadi bunga.
Allah Ta’ala A’lam.
No comments:
Post a Comment