Tuesday, November 18, 2008

~ Di situ Ada Kebaikan Baru~

Dia sudah menunggu. Saya juga menunggu. Bertungkus lumus saya menyiapkan proposal nikah, 16 halaman yang bertulis tangan itu. Ada harapan yang benar dan kesungguhan yang besar mengiringi usaha saya itu. Saya ikhlaskan. Di hati, ada bunga rasa yang mekar bahawa orang yang ikhlas akan sentiasa menang. Namun, saya menata hati andai kata ibu dan abah menerima, saya iringi dengan Alhamdulillah..andai sebaliknya, saya lafazkan Allahu Akbar. Mungkin Allah Yang Maha Besar belum memampukan saya, maka segala hajat itu akan menjadi kecil dihadapan kebesaranNya.

Proposal yang saya tulis kemas itu, tidak sempat bertukar tangan. Masa telah berlalu, saya masih menyimpan proposal nikah yang saya tulis dengan penuh harapan. Penuh keikhlasan. Sekarang, ianya tidak berguna lagi buat saya. Tetapi, nak dibuang, seolah masih terasa lelahnya aqal yang berfikir dan lenguhnya tangan yang menulis. Saya menyanyangi proposal itu beserta kenangan-kenangannya. Oleh itu, saya simpan kemas di dalam kotak khas kuning diraja (^_~). Subhanallah…rupa-rupanya, Allah berkehendak memberi kebaikan apabila Dia menahan diri saya dari membuangnya. Allah mahu menjadikan proposal itu bahan manfaat dan bantuan bagi Hidayah, tidak langsung ianya buah kebaikan yang cukup manis bagi saya.

Hidayah ialah sepupu rapat saya di Syria yang telah bersedia untuk bernikah tetapi belum mendapat keizinan keluarga. Dia membulat tekad berikhtiar menggunakan proposal nikah itu untuk melembutkan hati keluarga, hanya disesuaikan dengan kondisinya yang berbeza. Setelah 3 tahun mencuba pelbagai cara untuk memenangi hati Pak Chaq dan Mak Chaq, Hidayah andaikan ini usaha terakhirnya untuk berkahwin sekarang. Baru-baru ini, Hidayah menelefon saya dari Syria, memaklumkan bahawa dia akan pulang Disember ini untuk bernikah di kampung. Alhamdulillah, perjuangan panjang Hidayah dan si dia pilihan hati (^_~) untuk memenangi hati ibu dan baba Hidayah akhirnya bakal menemukan mereka sebagai suami isteri.

Sesungguhnya, saya percaya keikhlasan yang tulus akan melahirkan solusi. Ianya merupakan bantuan Allah swt melalui cara yang telah dikhaskanNya untuk mengeluarkan hamba pilihanNya dari kemelut permasalahan. Subhanallah…Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Malah, Allah Maha Memberi Kurnia, memenuhi kehendak manusia seolah-olah kita tidak pernah melakukan dosa dan keingkaran terhadapNya. Allah tambahi pula kurniaNya dengan keperluan dan kadangkala ‘ketidakperluan’ kita. Segalanya adalah format bantuan dari langit yang selalu dibuka selagi kita membuka pintu hati untukNya. Setiap yang diberi merupakan bantuan dan merupakan ruang kebaikan baru buat kita. Meski kebaikan itu bukan dalam premium manusia.. Meski kebaikan itu terlihat sebagai keburukan di mata manusia. Kebaikan itu tetap ada disitu, selagi kita mahu memahami, selagi kita mahu menerima..

Hidayah, Hidayah... Saya boleh melihat lesung pipit Hidayah yang sedang tersenyum simpul membaca namanya disebut berulang kali..(^_~) Mabruk ‘alaih…insyaAllah, Ya do’akan Hidayah dan si dia dipertemukan dalam barakah dan keredhaanNya.. selamat berkhidmat dalam ketaatan dan selamat berlari ke syurga…(^_^)

No comments: