Monday, November 3, 2008

Karya Seni di Televisyen Kita


Jarang-jarang sekali saya lihat naqibah usrah saya itu marah-marah...serasinya dia di mata saya sebagai seorang yang cukup sabar dan hikmah melayan kerenah 3 orang anak yang masih kecil.... Namun, pagi ini sasarannya, Nawwar yang asyik benar dengan televisyen...akhirnya, si adik merangkak keluar dengan wheel-chairnya ke muka jalan...Mujur saja walid yang baru pulang dari pasar melihat anak bongsu itu sekonyong-konyong menerpa jalan... Alhasil, televisyen di Baitul Hidayah (rumah Kak Norimi) dicatu sama sekali- sekurang-kurangnya sehingga Nawwar biasa menjarakkan dirinya dari televisyen.

Keasyikan kepada televisyen ini bukan fenomena biasa bagi kita. Bukan sahaja Nawwar yang baru pandai mengira 2+1 di sekolah..Malah, Mak Cik Timah yang sudah ber-anak 9 pun melekat rapat di hadapan TV tidak mengira masa..Siapa yang boleh lupa iklan tok wan yang tidak boleh berenggang dengan Astronya..Siapa yang boleh lupa kalimat keramatnya- macam-macam adaaa...Kini, ada pula tok yang pandai menyanyi lagu Hindustan sambil menyiram pokok bunga..Tok terlupa, sebaik-baik kalimat ialah menyebut nama Allah.. Indah zikir diganti dengan enak menyanyi...Namun, begitu kita tetap tertawa..Sehingga terlupa, hakikatnya dari semuda-muda anak sehingga setua-tua tok wan kita, semuanya sedang dieksploitasi begitu ramah sekali...

Itu cerita keasyikan kita dengan televisyen..Inti kepada cerita di televisyen itu bagaimana pula? Di kalangan teman-teman tidak jarang kita berbincang dan mendengar keresahan yang timbul bersangkutan dengan inti televisyen yang kelihatannya, tidak bergizi lagi buat rohani mahupun moral masyarakat. Makin dijamah, makin sakit, malah membawa ke tahap boleh ’mematikan’. Sekalipun ada rancangan-rancangan yang baik, namun jumlahnya masih relatif sedikit.

Saya tertarik dengan sebuah majalah yang dikirim Anto (sahabat Risalah dari Indonesia) suatu ketika dulu, antara yang terkandung ialah wawancara seorang tokoh perfileman Indonesia (saya tidak ingat namanya) yang banyak menggarap filem-filem berbentuk keagamaan sebagai tindak balas keresahannya terhadap kemunculan filem-filem yang sedia ada. Baginya, filem adalah medium efektif untuk menyampaikan pesanan-pesanan moral kepada masyarakat dan amat berpengaruh ke atas pembentukan karaktor masyarakat.



Secara peribadinya, saya bersetuju dengan pendapat beliau, saya cuba mengingati filem mahupun drama-drama yang berlambak menjengah kaca televisyen kita, memasuki kedalam gerbang rumahtangga kita, kemudian mempengaruhi isinya. Antara yang paling banyak kini adalah drama-drama dari Indonesia yang memaparkan kisah-kisah mistik. Seorang anak kecil misalnya, digambarkan mempunyai kawan pari-pari yang boleh membantu dan mengabulkan semua hajatnya. Begitu juga dengan cerita seorang wanita yang boleh bertukar menjadi siput dan kanak-kanak lelaki yang bersahabat dengan ikan emas ajaib. Ini semua amat tidak masuk akal, malah semua ini menyangkut persoalan Aqidah. Kanak-kanak akan merasakan seolah-olah pari-pari itu ada, bahkan anak-anak itu akan mempercayai ada kekuatan penolong selain Allah. Sekiranya mempunyai sebarang masalah, bukan Allah tempat mengadu sebaliknya pari-pari penolong. Selain dari kisah mistik, saya melihat kebelakangan ini seolah-olah ada kecenderungan yang berat di kalangan penerbit filem/drama untuk mengeluarkan cerita-cerita seram. Lihat sahaja lambakan bahan tayangan seperti Jangan Pandang Belakang, Congkak, Kekasihku Seru, Chermin, Susuk, Bilik no 13, Saka dan lain-lain. Malang sekali apabila anak-anak kita membesar dengan jiwa kerdil seorang penakut setelah dimomokkan dengan cerita-cerita picisan yang sebegini.


Anda masih ingat berita seorang kanak-kanak lelaki di China yang mati akibat membiarkan dirinya dilanggar kereta? Kanak-kanak malang itu membayangkan dirinya akan memiliki kekuatan luar biasa sehingga kereta yang merempuhnya tidak akan mencederakannya. Begitu juga dengan kisah yang berlaku di dalam negara kita suatu ketika dulu apabila seorang abang menikam adiknya yang berada di dalam buaian kerana meniru aksi yang dilakukan pelakon di dalam televisyen. Kisah-kisah tragis begini berlaku apabila kanak-kanak diajak untuk berfikir secara tidak rasional dan ganas. Sifat ingin tahu tanpa diseimbangkan oleh penilaian yang matang mendorong mereka mencuba segala apa yang dipertontonkan melalui kaca televisyen.


Begitu juga halnya dengan cerita-cerita remaja yang dihasilkan. Kisah-kisah remaja kurang membawa pesanan moral tetapi lebih kepada pengekploitasian dunia remaja yang huru-hara, asyik dengan nafsu dan cinta. Sebagai contoh, filem Rempit menggambarkan realiti dunia remaja yang terlibat dengan perlumbaan haram, dadah, seks bebas dan lain-lain masalah moral. Persoalannya, apakah selanjutnya dari itu semua? Pesanan moral apakah yang terbangun untuk masyarakat? Begitu banyak perkara-perkara sensitif dan negatif yang dipertontonkan seperti seks bebas dan gadis hamil luar nikah. Kesannya, kita menjadi semakin bertoleransi dengan panyakit sosial sebegini dan isu ini menjadi tidak tabu lagi di kalangan masyarakat. Biasa-biasa saja. Yang penting, jika anak gadis hamil luar nikah, gugurkan sahaja. Paling tidak, cepat-cepat dikahwinkan sebelum anak itu lahir.



Lari dari soal perfileman dan drama namun masih inti televisyen, di sana-sini, dimana-mana siaran televisyen rancangan hiburan, tarian, nyanyian, lakonan dan entah- apa-apa lagi sudah tidak mampu di bilang dengan jari. Begitu banyak datang silih berganti, tidak pernah putus ke udara. Bukan sahaja untuk golongan dewasa, malah rancangan hiburan ini juga telah diperluaskan ke daerah kanak-kanak. Mereka begitu asyik dengan hiburan yang melalaikan. Belas sungguh melihat anak-anak yang masih belum matang membuat pertimbangan dan penilaian dihenyak budaya hedonisme. Saya jadi teringat kepada seorang adik yang saya temui di Kuantan suatu ketika dulu. Adik saya ini sanggup berbasikal dari Gambang ke Kuantan (jarak yang cukup jauh) untuk menyaksikan Konsert Sure Heboh. Alasannya, mahu berhibur ‘sedikit’ saja. Andai saja dia tahu, hiburan ‘pain killer’ (sementara) ini tidak akan mampu menyegarkan jiwa dan perasaan melainkan melalaikan buat sekian waktu. Kemudian ketagihan hiburan itu akan datang semula, semakin menjadi-jadi. Akhirnya, ibarat kata Ustaz Pahrol Mad Juoi, sistem nilai akan berantakan. Di rumah, ada ibu dan ayah yang berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh, di sekolah ada ustaz dan ustazah yang mengajar supaya ingat kepada Tuhan, menutup aurat dan menjaga akhlaq. Namun, melalui media elektronik mereka diasak untuk menjana angan-angan, menumpukan perhatian kepada hiburan, mengalih minat dari belajar pada kemasyuran.


Begitulah sedikit gambaran tentang realiti karya seni yang dihasilkan ketika ini. Saya melihat karya yang dihasilkan belum cukup untuk membangun budaya bangsa berkaraktor. Namun, untuk mengubah keadaan ini, tidak cukup sekadar counter wacana. Karya mesti dibalas karya. Jika kerisauan yang ada terhadap hasil karya yang ada ketika ini, maka jawapannya ialah kita mesti menciptakan karya lain yang boleh menghilangkan resah gelisah itu. Karya tanding, bak kata Anto. Siapa yang akan mencipta karya tanding ini kalau bukan anak Malaysia yang tentunya mempunyai potensi dan minat dalam bidang perfileman. Yang paling penting, bukan sekadar minat perfileman tetapi harus ada visi yang jelas dalam misi menyelamat umat, menyediakan bahan sesuai pembangunan moral dan rohani yang sihat.

No comments: